Bismillahirrahmaniraahim. Assalamualaikum WBT. Yang Berbahagia Saudara Pizi Jihat, Presiden KelabCheDet.Com, Yang Berbahagia Saudara Zainudin Husin, Pengarah Program, ahli-ahli KelabCheDet.Com seterusnya Tuan-tuan, Puan-puan, hadirin sekalian. Saya terlebih dahulu ucapkan terima kasih kerana dijemput ke majilis ini yang seperti kata juruacara tadi ia adalah satu majlis yang istimewa.
Saya sebenarnya tidak tahu berkenaan dengan adanya KelabCheDet.Com ini. Tapi bila saya dengar-dengar saya pun tak terfikir apa bentuknya. Tapi hari ni saya dapati ramai juga, bukan sahaja dari Kuala Lumpur ini tapi dari seluruh Negara bahkan termasuk Singapura juga yang mempunyai ahli, kelab ini. Jadi saya bersyukurlah kerana ada begitu ramai yg sanggup mengadakan kelab ini.
Saya menjadi blogger kerana tak dapat menyuarakan pendapat saya melalui saluran-saluran biasa setelah saya letak jawatan. Jadi … dengan itu setelah dipujuk oleh beberapa orang saya buat keputusan untuk menulis dalam blog dengan penuh kesedaran bahawa tak mungkin saya menjawab segala komen-komen yang akan dibuat. Jadi banyaklah komen-komen yg dibuat yang tak dijawab oleh saya. Walaupun komen-komen itu bernas belaka, dan… saya fikir ada baiknya kalau saya menjawab tetapi kerana masa tak izinkan saya tak dapat menjawabnya.
Kita sekarang ini lihat di kalangan rakyat Malaysia ini khususnya org melayu banyak sudah badan-badan NGO yg ditubuhkan. Saya berpendapat bahawa banyaknya badan-badan NGO ini ialah oleh kerana dahulu kita berpendapat bahawa kita mempunyai perwakilan kita yang mampu untuk menjaga kepentingan kita. Tapi entah bagaimana sudah timbul perasaan kecewa dan ramai yang telah menubuh NGO…badan NGO untuk menyuarakan pendapat orang melayu. Dan dalam perkara ini, kita bersyukur kerana kalau dahulu kita tak dapat suarakan pendapat kita melainkan melalui media cetak dan media elektronik, sekarang ni kita berpeluang untuk menyuarakan pendapat kita melalui internet, melalui blog. Dan ini adalah satu kemudahan yang perlu kita hargai dan kita bersyukur dengannya. Kerana seperti biasa, media boleh diguna dengan baik dan boleh juga disalahgunakan. Dan saya harap tak ramai yang akan salahgunakan media yg baru ni. Kita berpendapat bahawa media ini tidak dapat dikawal…tidak dapat dikawal oleh pihak pemerintah walaupun ada juga pihak lain yang mungkin boleh mengawal. Saya.. setelah saya mendapat komen dan visits yang banyak, kononnya ada masalah sikit jadi pihak berkenaan tidak dapat melayankan segala tulisan-tulisan saya. Saya menunggu sehingga dibolehkan.. tapi oleh kerana tak dibolehkan, maka terpaksalah saya cari server yg lain. Saya gunakan server yg itu utk beberapa lama dan saya dapati pula pemilik server itu pun mempunyai agenda yang berlainan daripada saya. Khususnya dianya mempertahan rasuah, sedangkan saya tak bersetuju dengan rasuah. Jadi dengan kerana itu saya pindah sekali lagi cari server yang lain. Jadi saya bersyukurlah kerana masih ada lagi ada orang yang boleh melayan keperluan saya.
Saya berpendapat bahawa media ini amat baik bagi kita dan harus kita gunakan dengan cara yg baik untuk menjayakan cita-cita kita. Saya seperti mana yang Tuan-tuan tahu saya dah pencen. Jadi.. dulu masa jadi Perdana Menteri senang sikit.. bila dah pencen ni tak ada kuasa susahlah sikit. Tapi oleh kerana saya berpendapat, walaupun pada mulanya saya berharap setelah saya bersara maka tak perlu lagi saya memberi pendapat ataupun menegur ataupun berkata apa-apa berkenaan dengan pemerintah. Malangnya.. saya terpaksa membuat teguran-teguran dan kerana, mungkin kerana saya buat teguran yang banyak maka akhbar tidak lagi menyiarkan teguran-teguran saya. Selepas itu apabila saya di’blackout’ maka terpaksalah saya buat teguran melalui blog. Dan ini saya fikir disebabkan oleh perbezaan pendapat, mungkin antara saya dan pihak yang memerintah. Saya berjaga-jaga juga dalam membuat teguran supaya tidak membuat satu kesalahan yang mungkin akan menyebabkan pihak yang berkuasa mengambil tindakan ke atas saya. Bukan kerana takut.. tapi masa tak cukup. Kalau kita kena masuk dalam tahanan umur yang lebih ni.. kita tahulah tiap-tiap saat sekarang ni lebih mahal harganya kepada saya daripada kebanyakan orang-orang yang muda. Orang yang muda memikir bahawa dia mempunyai unlimited time tapi sebenarnya limited. Saya tak tahu berapa banyak time yang ada lagi sebab tu saya berjaga-jaga supaya dapat saya gunakan media ini tanpa gangguan. Saya berpendapat bahawa kita semua boleh guna media ini dengan cukup baik. Masalah kita banyak. Masalah orang melayu banyak. Masalah Negara kita juga banyak. Negara kita ini adalah Negara berbilang kaum. Tapi kita sudah sampai kepada satu ketika yang mana apabila orang melayu mempertahankan dirinya maka ianya dituduh sebagai racist seolah-olah dia tidak boleh langsung pertahan.. bukan serang tetapi pertahan saja diri dia. Sedangkan apa yang dipertahankan itu memang pun termaktub dalam perlembagaan Negara kita, dalam sosial kontrak yang yang telah diadakan dahulu. Jadi oleh kerana kita dapati media biasa ini tidak nak ketengahkan soal-soal ini maka internet ini menjadi begitu penting. Sesungguhnya kita masih menghadapi banyak masalah dan kita harus guna sistem ini. Dan kalau kita berkuasa ke atas akhbar dan media elektronik hendaklah kita guna alat-alat ini untuk menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat, orang melayu khususnya. Kerana saya berpendapat bahawa orang melayu masih memerlukan bimbingan. Kita bukan tidak punyai kebolehan. Kebolehan kita tak kurang daripada yg lain. Tetapi oleh kerana kita tidak pegang kepada nilai-nilai yang baik, dan dengan itu kita kurang berjaya. Sebaliknya kalau orang yang sama kalau dia memegang kepada nilai yang baik maka dia tetap akan berjaya dan kita tidak lagi akan bergantung kepada perlindungan tertentu, tidak perlu menggunakan tongkat supaya kita dapat berjalan, sebaliknya kita boleh berjalan dengan tegap dan kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yg lain. Jadi adanya media ini membolehkan kita mencuba, menasihat, memberi tunjuk ajar kepada kaum bangsa kita supaya mereka akan dapat bangun dan mempertahankan kedudukan mereka bahkan akan memajukan diri sehingga mereka tidak kurang daripada orang-orang yang lain.
Sesuatu bangsa itu hanya akan maju kalau budayanya.. saya fikir Tuan-tuan mungkin nak dengar cerita ni lama… saya bercakap pasal budaya inilah.. tiap-tiap tahun masa jadi Perdana Menteri. Dalam ucapan-ucapan saya cakap betapa pentingnya budaya dalam menentukan sama ada kita berjaya ataupun tidak. Jadi tugas kita sekarang ini adalah untuk membentuk budaya terutamanya nilai hidup yang perlu dipegang oleh kita, diamal oleh kita yang mana nilai hidup ini akan menentukan kejayaan bagi kita. Sebab itu saya tak rela bekerjasama atau pun mengguna khidmat daripada satu puak yang berpendapat bahawa rasuah itu memang tidak boleh dielak dan dengan itu tak guna kita menentang rasuah. Bagi saya rasuah akan meruntukan bangsa kita, Negara kita dan agama kita. Jadi sama ada kita dapat mengurang, saya tak fikir kita boleh hapuskan secara langsung rasuah tapi kita harus kurangkan rasuah ini. Kerana kalau adanya rasuah dalam maysarakat kita, percayalah kita tak boleh maju sampai bila-bila pun. Bahkan kita akan hancur, akan menjadi mundur dan akan hancur dan mungkin hilang dari muka bumi ini pun. Sebab tu saya kerap sangat bercakap berkenaan dengan rasuah. Saya mintalah ahli-ahli KelabCheDet.Com ini akan pegang kepada betapa pentingnya kita berusaha untuk menghapuskan rasuah, di kalangan kita dan di kalangan sesiapa sahaja yang berdekatan dengan kita dan di kalangan rakyat Negara kita ini khususnya rakyat yang berbangsa melayu beragama Islam seperti kita. Percayalah jikalau kita dapat menjayakan satu ini saja kita akan jadi lebih berjaya.. dan boleh bersaing dengan sesiapa saja.
Yang keduanya ialah ramai daripada kita melihat ramai daripada pekerja asing datang ke Negara kita. Kenapakah mereka datang ke Negara kita? Sebabnya.. biasanyalah, pada pandangan saya, observation saya, mereka datang ke sini kerana ada kerja-kerja yang kita tak sanggup melakukannya. Kita lebih rela membenarkan pendatang membuat kerja-kerja tertentu. Kita tak serik, tak terfikir mendalam tentang sejarah kita tentang keadaan kita sekarang ini.. kenapa dianya berada seperti sekarang ini. Sebabnya ialah walaupun Tanah Melayu ini, adalah negeri orang-orang Melayu belaka, tetapi oleh kerana kita tidak sanggup untuk membuat kerja tertentu, maka pihak penjajah telah membawa masuk orang asing dengan banyaknya.
Raja-raja kita pada masa itu berpendapat bahawa orang asing ini tidak akan jadi rakyat Negara kita ini. Jadi bila masa datang mereka akan kembali ke tanah air mereka. Tetapi apa yang berlaku ialah orang asing ini, setelah berada di sini sekian lama, mereka bukan saja tak nak kembali ke tanah air mereka, sebaliknya mereka menuntut hak di dalam Negara kita ini. Dan kalau pun kita tak nak beri, tetapi kita begitu lemah maka dengan itu kita terpaksa beri taraf kerakyatan kepada mereka. Dan hari ini kita terpaksa bersaing dengan mereka sedangkan mereka jauh lebih cekap, lebih maju dpd kita. Sebabnya ialah kita tak sanggup buat kerja tertentu.
Masa ladang-ladang getah dibuka kita tak sanggup menjadi penoreh getah. Bila lombong bijih dibuka kita tak sanggup bekerja dalam lombong bijih. Bila pemerintah menggunakan bahasa Inggeris untuk memerintah Negara kita, kita tidak belajar bahasa Inggeris supaya kita dapat mengisi segala jawatan yg ada. Apabila kita perlu kepada orang yang berkebolehan, orang kita tidak bersiap sedia untuk menguasai ilmu yang diperlukan. Oleh kerana kita tidak berbuat demikian, maka hari ni kita terpaksa berkongsi Negara kita ini dengan orang-orang pendatang. Sudah sampai kepada satu tahap yang mana kaum pendatang ini buat kenyataan bahawa kita juga adalah kaum pendatang. Dan kita tidak mampu berkata apa-apa.. kerana kita sudah jadi lemah.
Kita tidak mengambil iktibar daripada nasib Singapura. Singapura sepatutnya menjadi sebahagian daripada Malaysia.. kerana ia adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Beberapa buah pulau milik negeri Johor. Tetapi apabila kita telah pindahkan kepada pihak British, menjual kepada British, kita dapati bahawa tidak ramai daripada orang kita bekerja di sana. Kalaulah pada masa Singapura menuntut kemerdekaan, jumlah orang Melayu di sana adalah 90% , sudah tentu Singapura akan menjadi sebahagian daripada Malaysia. Tetapi oleh kerana kita bukan sahaja tidak sanggup bekerja tetapi jumlah kita juga kita kurangkan, dan kerana itu kita jadi hanya 15 % daripada rakyat Singapura. Dan apabila Singapura merdeka dia bukan lagi menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu. Dia tak jadi Negara merdeka yang dimiliki oleh orang Melayu. Sebaliknya sebuah Negara lain telah wujud di atas tanah milik orang Melayu.
Inilah hasil daripada keengganan kita memikul tangungjawab kita. Bersedia untuk melengkapkan diri dengan segala kebolehan untuk menentukan apa juga keperluan tenaga di dalam Negara yang dijajah oleh British ini dapat dibekalkan oleh kita. Kalau kita berbuat demikian, maka Negara kita akan selamat. Kita harus ambil iktibar daripada sejarah kita, sejarah Singapura supaya hari ini kita tidak akan ketinggalan sekali lagi, jadi lemah sekali lagi kerana tidak ada usaha bagi kita untuk mengusai segala ilmu segala kecekapan segala nilai-nilai mulia supaya kedudukan kita terus terselamat.
Katakanlah, hari ini.. kita dapati bahawa yang bijak yang pandai yang berkebolehan yang mempunyai kecekapan dalam bidang perniagaan dalam bidang pentadbiran, semuanya terdiri daripada kaum kita, maka kita tidak akan lagi berasa cemas dan takut kita kehilangan tempat. Tetapi sekarang ini kita berasa kita berada dalam ketakutan. Kerana kita berasa kita lemah.. kalau tidak ada tongkat yang diberi oleh kerajaan, maka kita akan hilang tempat kita di Negara kita. Kita percaya bahawa oleh kerana jumlah orang melayu adalah majoriti dalam Negara kita, bukan besar majoriti, cuma 60% saja. Kita fikir dengan 60%, dalam sebuah Negara demokratik kita tetap akan jadi majoriti. Yang kita tidak fikir ialah pecah belah di kalangan orang melayu sehingga majoriti itu sudah tidak punya makna lagi.
Kita sekarang ini berpecah tiga sekurang-kurangnya jika tidak lebih daripada itu. Dan masing-masing kumpulan bertentangan antara yang lain dan kita dengan itu melemahkan diri kita. Ada yang berpendapat apa gunanya kita mempertahankan kedudukan orang melayu dan sebagainya. Apabila kita ada kumpulan-kumpulan yang semacam ini, kita yang menjadi majoriti kepada Negara ini sudah tidak menjadi benteng untuk mempertahankan kedudukan kita. Kita berpecah tiga jadi sebenarnya kuasa kita sudah turun kepada 20-30 % saja daripada kuasa yang ada mengikut jumlah penduduk di dalam Negara kita.
Jangan kita fikir Negara kita ini satu hari tidak akan diperintah oleh kita, akan diperintah oleh orang lain. Dan saya percaya walaupun mereka ingin berlaku adil kepada kita tetapi tak dapat tidak, mereka akan memberi keutamaan kepada suku sakat mereka kaum-kaum mereka dan kita pada masa itu akan menjadi penduduk asing di Negara sendiri. Itulah nasib yg menunggu kita. Mungkin saya tak kan lihat ini kerana umur saya dah lebih, tapi bagi generasi akan datang? Bagi anak kita? Cucu kita? Apa akan jadi kepada mereka kalau pada suatu hari apabila kita sudah tidak punyai 2/3 majoriti, dan satu pindaan kepada undang-undang dibuat, oleh yg memiliki 2/3 majoriti supaya Negara kita ini ditukar namanya. Tidak ada lagi unsur-unsur Tanah Melayu di Negara kita ini. Kita tahu perkataan Singapura tidak ada kaitan dengan bangsa kita. Satu hari mungkin Negara Malaysia ini juga akan bertukar menjadi sebuah Negara dengan nama yang lain. “The Republic of something something something”…. Pada ketika itu agak lewat untuk kita membuat apa-apa.. sebab itu kita harus sedar, harus ambil iktibar daripada sejarah kita dan kita berusaha daripada sekarang ini untuk melengkapkan diri kita dengan segala kecekapan dan ilmu, dan juga kita juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil alih tempat-tempat yang sepatutnya diisi oleh kita sendiri dan bukan daripada pendatang-pendatang daripada Negara luar.
Satu hari, pendatang asing yang sekarang ini berjumlah dua million akan tuntut hak untuk menjadi rakyat Malaysia. Dan kita kata kita tidak akan memberi kepada mereka kerakyatan Negara kita. Tetapi apabila pada ketika itu, pemerintah tidak lagi dikuasai oleh kita, bukan lagi pemerintah yang majoritinya terdiri daripada orang kita, pemerintah itu mungkin berpendapat, oleh kerana pendatang asing ini sudah lama tinggal di sini, maka mereka bolehlah jadi rakyat Malaysia. Apabila dua juta ini menjadi rakyat Malaysia, jumlah kita ataupun peratusan kita sebanyak 60% tadi akan jatuh kurang daripada 50%. Pada ketika itu, kita akan kehilangan kuasa sehingga bila-bila pun ..permanent loss of power.. Ini boleh jadi nasib kita.
Sebab itu saya ingin meminta kepada ahli-ahli KelabCheDet.Com supaya menghebahkan perkara ini supaya orang melayu akan sedar betapa terancamnya kedudukan mereka. Jangan mereka fikir mereka akan selalunya selamat, tak peduli siapa yang memerintah. Kalau mereka sudah jadi satu bangsa yang kuat dan gagah, mereka akan boleh pertahankan diri mereka. Tapi hari ni mereka belum kuat. Walaupun ada yang sudah berjaya, tapi ramai daripada mereka tidak kuat. Sebab itu mereka harus pertahankan kuasa poilitik mereka, dan mengguna kuasa politik itu untuk memberi masa kepada mereka menguasai segala kecekapan dan ilmu sehingga mereka boleh pertahankan diri mereka tanpa bergantung kepada perlindungan undang-undang. Inilah yang harus kita semua fikir. Bukan kita anti kepada kaum yang lain juga, tetapi hakikatnya ialah semenanjung ini.. termasuk Singapura, bahkan termasuk pulau-pulau Riau asalnya adalah Tanah Melayu. Walaupun kita rela menerima orang asing menjadi rakyat di Negara kita ini, tetapi ini masih Tanah Melayu.
Di mana-mana juga bila orang asing diberi kerakyatan, mereka mendapat kerakyatan dengan cukup syarat. Iaitu mereka akan menggunakan bahasa tempatan, mereka akan menggunakan budaya tempatan dan mereka akan tunjuk setianya hanya kepada Negara yang mereka menjadi rakyat kepadanya. Tetapi di Malaysia ini tidak. Kita orang Melayu begitu baik hati, sehingga merasa kita tak perlu dikuasai oleh orang lain. Saya masih sedih mendengar orang yang sudah diperanakkan di Malaysia tetapi tak boleh, nak sebut nama Melayu pun tak boleh. Kalau di Amerika, kalau dia tak boleh cakap bahasa Inggeris dia tak boleh dapat jadi rakyat. Kalau di negara-negara Amerika Selatan, mereka perlu bertutur kata dalam bahasa Sepanyol atau pun bahasa Portugis. Tapi di Malaysia ini, kita tak marah kalau ramai.. yang tak langsung tahu nak sebut nama orang Melayu pun tak boleh. Dah tinggal di sini seumur hidup, tak boleh. Ini kalau orang lain mungkin dilucut kerakyatan.
Tapi di Malaysia kita terima segala-galanya.. termasuk adanya sekolah-sekolah yang berbahasa asing. Yang bahasanya mengaitkan dengan negara-negara yang bukan Negara ini. Kita terima. Kita terima segala-galanya. Ini adalah kemudahan sikap orang Melayu yang selalunya bertolak ansur. Saya masih ingat, di zaman Tunku saya selalu kritik Tunku pasal suka tolak ansur. Give and take.. Give and take.. More give less take… Jadi.. kita dah bagi banyak. Kita dah bermurah hati. Bagi kerakyatan sebanyak satu juta. Tetapi hari ini kita dengar tuntutan-tuntutan yang lebih-lebih sangat. Apabila kita cuba pertahan kedudukan kita, mengikut perlembagaan, kita tidak tuntut lebih daripada itu, mengikut perjanjian sosial kontrak kita, kita dicap dituduh sebagi rasis. Dan oleh kerana itu tak ramai suka nak bercakap. Jadi nak kita sedar bahawa kita dalam proses menggelongsor turun. Kalau dia percepatkan lagi, tak lama kita tak jadi pemerintah dalam Negara kita. Kita sanggup berkongsi pemerintahan Negara kita ini, tetapi tidaklah sehingga kita hilang kuasa sama sekali.
Jadi KelabCheDet.Com saya percaya adalah kelab yg terdiri dpd mereka-mereka yang sedar, sedar tentang nasib bangsa mereka. Bukan kita nak berperang dengan orang tetapi hak kita, kita mesti pertahankan. Walaupun dituduh sebagai racist ataupun apa-apa, kita mesti pertahankan hak kita, tak lebih daripada itu. Kita tidak tuntut hak mereka.
Cuma Malaysia sahaja yang membenarkan penggunaan bahasa lain di sekolah-sekolah. Sebab itu di Indonesia tidak ada, di Filipina tidak ada, di Thailand tidak ada, di Vietnam tidak ada. Di mana-mana negara di dunia ini, di Australia tidak ada. Di Amerika tidak ada. Tetapi di Malaysia kita benar penggunaan bahasa asing yang menguatkan ikatan dengan Negara tertentu. Kita benar penggunaan bahasa ini, dan kita membiayai sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ini. Kita tak suruh mereka tutup sekolah ini, tetapi mereka harus menghargai murah hatinya org Melayu ini.
Jadi Tuan-tuan saya bersyukur.. kerana saya percaya tertubuhnya KelabCheDet.Com ini ialah oleh kerana Tuan-tuan Puan-puan bersetuju dengan pendirian saya selama ini. Saya biasa dituduh sebagai ultra-malay,ultra… sepatutnya tak dapatlah menjadi Perdana Menteri . Tapi entah macam mana dapat juga. Jadi saya fikir dalam kita mempertahankan diri kita, jangan takut bahawa akan hilang masa depan kita, peluang masa depan kita. Kalau kita pertahan diri kita, secara sopan, InsyaAllah kita akan dapat berjaya juga.
Sekian, Terima Kasih.
Transkrip Ucapan YABhg Tun. Dr. Mahathir Mohamad, di Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri Kelab Che Det Dot Com, Pada 18 Oktober 2009Hotel Putra KL. |
|
|