KELABCHEDET.COM MENUNTUT
PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA
DAN
TINDAKAN DISIPLIN PARTI MIC
DI ATAS KETIDAKSOPANAN
AHLI PERWAKILAN DAN KETUA PEMUDA MIC MENGHINA
YANG AMAT BERBAHAGIA

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
(MANTAN PERDANA MENTERI MALAYSIA)

Khamis, 17 September 2009
bersamaan
27 Ramadhan 1430

 
 

MUKADIMAH

Kami KELABCHEDET.COM, adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 30hb. September 2008 bertujuan untuk meneruskan amanah Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad (Mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO) dalam usaha untuk mencapai Wawasan 2020 sepertimana yang telah dicetuskan oleh beliau.

Sebagai NGO yang memperjuangkan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, serta berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, KELABCHEDET.COM memandang serius isu yang berlaku di dalam mesyuarat perwakilan parti MIC yang baru berlalu berhubung penghinaan yang dilakukan oleh salah seorang ahli perwakilan serta Ketua Pemuda parti MIC terhadap Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

PERAKUAN

Menyedari pihak pentadbiran dan pengurusan parti MIC telah pun mengambil tindakan sementara menggantung keahlian individu terbabit secara serta merta.

Menyedari individu terbabit telah pun mengakui kesilapan beliau dan sedang dalam proses memilih cara untuk memohon maaf kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

PANDANGAN

Merujuk kepada kenyataan akhbar terbaru oleh Ketua Pemuda MIC yang menuntut bahawa UMNO juga perlu mengambil tindakan disiplin terhadap YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad (merujuk kepada mukasurat 2 akhbar Malay Mail 16 September 2009), KELABCHEDET.COM berpendapat dan percaya bahawa ianya boleh mencetuskan serta membangkitkan suasana tidak stabil di dalam perikatan parti komponen Barisan Nasional secara khususnya dan hubungan kaum di negara ini secara amnya.

Kenyataan tersebut juga dilihat boleh membangkitkan kemarahan dan menimbulkan rasa tidak puas hati, yang pada hemat kami semakin reda apabila tindakan sepertimana yang dinyatakan di bawah para PERAKUAN di atas telah pun dilakukan oleh pentadbiran dan pengurusan parti MIC dan individu terbabit dalam perkara ini.

KELABCHEDET.COM juga berpendapat dan percaya bahawa terdapatnya unsur-unsur yang cuba menangguk di air keruh dan berusaha untuk mencetuskan suasana yang boleh menjejaskan keharmonian kaum selain cubaan untuk meraih populariti politik serta mengakibatkan isu ini berpanjangan.

 

KESIMPULAN

KELABCHEDET.COM mengecam sebarang bentuk perlakuan, perbuatan dan apa-apa sahaja usaha untuk memecahbelahkan ikatan persahabatan di antara parti komponen Barisan Nasional dan perpaduan kaum yang telah wujud sejak sebelum merdeka lagi dan selama ini menjadi asas kepada penubuhan sebuah negara bernama Malaysia.

 

TUNTUTAN

Oleh yang demikian, kami dengan ini MENUNTUT DAN MENYARANKAN supaya pihak pentadbiran dan pengurusan parti MIC melaksanakan langkah-langkah berikut bagi mengelakkan timbulnya spekulasi serta perkara-perkara yang boleh mengakibatkan timbulnya suasana ketidakharmonian yang selama ini dikecapi oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini serta memperbetulkan persepsi masyarakat tentang isu yang timbul. Antaranya adalah :-

a. Parti MIC perlu memohon maaf secara terbuka melalui sidang akhbar (press conference) atau hebahan kenyataan bertulis (media release) kepada semua media cetak, media elektronik serta media alternatif (portal berkaitan) di atas ketidaksopanan ahlinya menghina Tun Dr. Mahathir Mohamad;

b. Parti MIC harus menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan bersesuaian dan menjatuhkan hukuman secara tetap kepada ahli tersebut mengikut fasal-fasal yang diperuntukkan di dalam perlembagaan parti MIC berkaitan perkara tersebut;

c. Parti MIC hendaklah membuat hebahan kepada media sepertimana dinyatakan dalam para (a), di atas tindakan yang telah diambil dengan menyatakan dan menyiarkan Nama, Jawatan dalam parti, Bahagian/Cawangan yang diwakili, gambar ahli tersebut serta tindakan atau hukuman yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin parti MIC ke atas ahli tersebut;

d. Ahli tersebut juga perlu memohon maaf secara terbuka melalui hebahan kepada media tempatan dan secara peribadi kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas ketidaksopanan beliau membuat cadangan yang berlawanan dengan norma-norma serta nilai adat ketimuran yang selama ini telah menjamin kestabilan politik serta keharmonian kaum di negara ini;

e. Ketua Pemuda MIC harus menarik balik kenyataannya yang mahukan UMNO juga harus mengambil tindakan disiplin terhadap YABhg. Tun Dr. Mahathir serta memohon maaf secara terbuka di atas ketidakwajarannya berhubung kenyataan tersebut;

f. Parti MIC harus menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan bersesuaian dan menjatuhkan hukuman secara tetap ke atas Ketua Pemuda MIC mengikut fasal-fasal yang diperuntukkan di dalam perlembagaan parti MIC berkaitan perkara tersebut sekiranya beliau gagal untuk melaksanakan perkara sepertimana tercatat pada para (e) dan dihebahkan kepada media; dan

g. Pengurusan dan pentadbiran MIC harus mengingatkan ahli partinya supaya memelihara dan mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum yang menjadi tunggak kejayaan negara dalam mengharungi arus globalisasi masakini yang semakin mencabar.

Tanpa prejudis, kami berharap agar perhatian serius dapat diberikan berkaitan isu ini dan tindakan susulan dapat dilaksanakan demi memastikan kestabilan politik dan keharmonian kaum di bumi bertuah ini dapat terus dikekalkan selaras dengan kehendak majoriti masyarakat serta langkah-langkah yang telah diusahakan oleh generasi pemimpin terdahulu dan menepati konsep yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak,

“1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

KELABCHEDET.COM

MENERUSKAN AMANAH

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

 

Bagi pihak seluruh EXCO dan ahli-ahli KELABCHEDET.COM MALAYSIA,

 

Pizi Jihat
Presiden (Penaja)

s.k.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional

Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO

Yang Berhormat Datuk Ibrahim Ali
Presiden PERKASA merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas

Ketua Pengarang Utusan Malaysia
Ketua Pengarang Berita Harian
Ketua Pengarang Harian Metro
Ketua Pengarang Kosmo
Ketua Pengarang The New Straits Times
Ketua Pengarang The Star
Ketua Pengarang Malay Mail
Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau
Ketua Pengarang Tamil Nesan
Ketua Pengarang Makkal Osai
Ketua Pengarang Sin Chew Jit Poh
Ketua Pengarang Sinar Harian
ian

www.kelabchedet.com